Mummyku Tukang Sihir

In conjunction with the Malay Language Month in October 2010, I am writing this entry in my native tongue – Bahasa Melayu.

Pada suatu petang yang indah, saya dan anak saya yang berusia 2 tahun 8 bulan sedang berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Kemudian kami telah singgah di taman permainan kanak-kanak sambil menikmati sepotong ais-krim.

Tiba-tiba seorang wanita muda yang sedang duduk di sebelah saya mengeluarkan suara yang nyaring. Sungguh mengerikan suara wanita itu. Sebenarnya suara saya pun nyaring dan ngeri juga tapi sekurang-kurangnya projeksi suara saya keluar dari mulut dan bukan hidung.

“Ehhh… kenapa you bagi anak you makan tuuuu!” kata beliau.

Dengan sepantas kilat saya memandang ke arah anak saya. Saya amat yakin pada ketika saya mengalihkan pandangan ke arah beg tangan seorang lagi ibu yang turut berada di taman itu, anak saya telah memakan kasut beliau. Akan tetapi anak saya hanyalah sedang memakan ais-krim. Walaupun ais-krim tersebut telah tercomot hingga terkena pipi, dagu, hidung, kening dan barangkali paru-paru beliau, tetapi yang dimakan olehnya hanyalah ais-krim dan bukan kasut beliau mahupun kasut saya. Syukur Alhamdulillah.

Kemudian saya pun bertanya semula kepada wanita di sebelah saya; “Kenapa, ais-krim ni tak boleh makan ke?”

Saya sungguh terkesima. Adakah saya telah terbeli lelemak beku yang mempunyai unsur babi dan tidak halal? Adakah saya telah menyokong Yahudi? Adakah anak saya telah membaca Surah Yassin dan membaca doa selamat? Hati saya sungguh berdebar. Apakah salah kami?

“Ais-krim tak elokkkkk… jangan bagi anak you makan ni…Ni tak bagus untuk kesihatan, you tak tahu ke?” tanya beliau dengan penuh semangat lengkap dengan jelingan mata yang tajam. Mungkin beliau pernah mendapat watak pelakon sampingan sebagai Mak Bedah penggosip kampung dalam drama swasta.  Wajahnya berkerut-kerut dengan penuh perasaan jijik terhadap ais-krim strawberi itu. Mungkin di mata beliau ais-krim yang sungguh menyelerakan itu diperbuat daripada najis berat mughallazah.

Saya pun dengan penuh keinsafan terus mendengar kata-kata wanita itu. Kalau tak salah saya, mulut saya mungkin ternganga sedikit. Tapi sedikit sahaja kerana saya sentiasa kawal cun.

“I memang tak pernah bagi anak I makan benda-benda ni…” sambung beliau lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala “Anak I memang tak makan benda-benda manis dan diproses. Semua makanan kena rendah lemak, asli dan menyihatkan… biar minum air kosong aje.. lagi baik…!”

Maka saya pun telah terkedu dengan penuh kesyahduan. Sungguh saya tidak menyangka saya telah menzalimi anak saya. “Mana anak you..” tanya saya… ” Berapa umur diorang?”

“Anak I sorang jer… tu dia!” kata wanita itu sambil menunjuk ke arah seorang budak lelaki. Rupa-rupanya budak lelaki yang dari tadi sedang berdiri tegak bak menyanyikan lagu Negaraku sambil memerhatikan anak saya menjilat ais-krim adalah merupakan anak kepada wanita tersebut.

Kanak-kanak tersebut berpakaian cantik dan berjenama. Melihat dari bahasa tubuhnya saya mengagak beliau berusia lebih-kurang tiga hingga empat tahun. Tekaan saya hampir tepat apabila ibunya mengatakan bahawa anak beliau berusia empat tahun.

Tiba-tiba seekor syaitan nirrojim telah berbisik di telinga saya. Kemudian ia menggeletek pundi hempedu saya pula. Tinggi kanak-kanak yang suci dan tidak bersalah itu hanyalah sama dengan paras telinga berselaput ais-krim anak saya. Badannya jugak kurus dan “frail” bak kata orang kampong saya. 

“Kalau Miki sepak sekali budak ni mesti pelanting sampai ke New Zealand kan?” bisik syaitan itu lagi. (Syaitan kah?)

Kata-kata itu menyebabkan saya ingin sekali ketawa terbahak-bahak. Oh sungguh kelakar sekali setan ini hingga ke tahap Raja Lawak. Hasutannya juga telah menyebabkan saya telah membuat kuda-kuda, meletakkan kedua-dua belah tapak tangan di atas lutut dan kemudiannya mengangkat tangan kanan saya, sama sebijik seperti Imuda dalam sketsa Kampung Sri Wangi dan melaung “PIIIRAAAHHHHH MABUKKKKK!” kepada wanita ibu kepada budak kecik itu. Mujurlah saya berhalusinasi sahaja, jikalau tidak, mungkin entry ini lebih panjang dari sedia ada.

Sungguh beriya-iya wanita itu menasihati saya tentang pemakanan sihat akan tetapi anak beliau adalah begitu kudut sekali. Sungguh tidak sesssuuaaaiiii! (baca dengan suara sengau)

Mungkin ada yang mengatakan badan yang kecil tidak bererti tidak sihat tetapi saya juga ingin menekankan disini bahawa makan sepotong ais-krim seminggu sekali juga tidak beerti tidak sihat. Perlukah saya menerangkan kepada wanita itu bahawa anak saya adalah pemakan tegar sayur broccoli, bayam dan lobak merah pada usia satu tahun? Perlukah saya menceritakan kisah sukses saya mendidik anak saya menjadi pemakan ubat yang sungguh mudah daripada ubat antibiotik oral hinggalah ke ubat titisan mata dan hidung?

Saya kira tidak perlu kerana saya tidak mengenali wanita itu, beliau hanyalah seorang lagi ibu yang membawa anak ke taman permainan. Sebarang perbualan mesra saya dengan beliau pasti berkisar tentang perkara-perkara indah tanpa perlu ada unsur kejian mahupun kesombongan.

Saya tahu dan sedar bahawa ais-krim mengandungi lemak akan tetapi Tuan-tuan dan Puan-puan, lemak juga merupakan suatu zat penting dalam piramid makanan. Jikalau anak kecik dihindari dari lemak sepenuhnya tidak kah itu akan mengganggu tumbesarannya? Walaupun kita kaum ibu (bukan saya la tapi) kadangkala mempunyai lelemak tepu yang boleh melantun pabila disentuh, tidak beerti anak kita tidak harus menikmati sedikit lemak pun, baik dalam bentuk lemak haiwan, minyak sayuran atau makanan hasil tenusu seperti ais-krim.

Seperkara lagi, walaupun saya seorang yang keji, tetapi saya tetap tidak sampai hati membiarkan anak saya menitis air liur melihat kanak-kanak lain menikmati makanan yang enak. Sesungguhnya siapakah ibu yang zalim di sini? Saya atau wanita itu kah?

Walaupun kadang kala saya akan meroyan dengan sikap anak saya namun saya tetap bukan seorang Ibu Tiri yang kejam mahupun Tukang Sihir yang bengis. Bahagian Tukang Sihir itu memang sudah jelas lagi bersuluh kerana Tukang Sihir rata-rata berhidung panjang sedangkan saya berhidung kemek.

Dengan itu ingin saya simpulkan disini bahawa kita patut cuba  agar tidak membuat bagus kepada ibu-ibu yang lain kerana hanya seorang ibu itu yang tahu apa yang terbaik untuk anaknya. Selain itu, ibu tersebut juga mungkin mempunyai blog yang dibaca oleh 1000 orang sehari. Oh sungguh keji sekali!

Author: Diyana

31 thoughts on “Mummyku Tukang Sihir

  1. Oh pity the little boy with that kind of mother. Sure tak cukup nutrient kalau kecik kurus like that. I bet susu pun dia tak bagi kat budak tu coz milk powders kan ‘processed food’. Pity, pity him 🙁

  2. Pirah makcik-makcik lagu ini, depa duk jaga sangat anak depa makan lagu mana. Nanti dah besak sikit, makan benda pelik sikit boleh cirit birit, sakit tak tentu hala. Sebab badan depa macam tak pernah diuji dengan makanan yang pelbagai.

    betui dak ampa!

  3. merujuk kepada kemasukan teks di blog anda ini, terus mengingatkan saya kepada adik saya yang comel iaitu Zaq (jangan menafikan status adik ini jika anda sayangkan nyawa anda). saya akan pastikan zaq mendapatkan nutrisi yang mencukupi daripada makanan berkhasiat dan juga pemakanan dari kumpulan makanan ringan agar tubuh badannya boleh mengadaptasi dengan pelbagai keadaan dan juga peningkatan imunisasi badan.

  4. Encik BroBani yang sedikit mangkuk, adakah anda sedang mengugut saya tentang status cucu anda yg digelar adik ittew? (pirah mabukkk)
    Ingin saya perbetulkan disini bahawa kumpulan makanan ringan adalah TIDAK BAIK dan tidak harus diberikan kepada cucu anda atas alasan adaptasi. Saya mengamalkan sedikit kelonggaran terhadap ais-krim dan coklat kerana saya TIDAK SEMPURNA. Maka janganlah Encik memberikan Zaq makan Super Ring pula, mengerti?????
    .
    .
    Jumie, Terima kasih kerana mengunjung blog Mami… tapi cakap ampa mmg betui… kecik2 duk bagi makan cereal saja satni mai penang pekena nasik kandaq tu diahhh… cirbir teruihhh.. muahahaha

  5. Di, good on you. Don’t rob Miki’s childhood from him, and eating ICE CREAM is part of it~

    Anyway, just another note to say I LOVE READING YOUR BLOGS and i really look forward to reading it everyday – whether i’m at work or in the train or at home! Makes my day! I even read it out loud to my hubby who laughs out loud with me! =P

    BUT after 10 years in Melbourne, I took twice the time to read this entry cuz my Malay super rusty, but good thing still can understand! Boleh tahan la! =)

    Keep writing!

  6. Woww i am sooooooo impressed with your Bahasa!Oh Power okay!Kalau si Mummy Tukang Sihir baca sure nangis air mata darah!

    HAHAHA

    To Si Mummy Tukang Sihir, there’s a couple word i wanna say:
    1. Jangan poyo sangat bley?

    2.Piiiiiiiiiiiiirah Mabukkk!

    Bye :p

  7. hahahahahahahahahahah
    hahahahahahahahahahah
    hahahahahahahahahahah

    sangat lawak makcik tu. kesian budak baju berjenama itew. besok besar mesti makan 5 batang ais kerim sehari.

  8. Azman, tolong la letak butang LIKE untuk komen pulakkk… sebab nak LIKE komensi Eintanz ni ha…
    hahahahah
    hahahahaha
    hahahheheheheheehe

  9. mmg lah kurang berkhasiat (perhatikan kurang bukan tidak) tapi sesekali u just have to let them have a taste of just about everything…jgnlah deprive bebudak tu sampai mereka jadi JAKUN kesian… kekadang org yang merasakan diri mereka itu pandai sering melakukan kesilapan yang tidak mereka ketahui.. sangat kesian budak yang kudut itu kalau saya jadi kamu saya akan belikan lagi satu aiskrim bagi kat dia sebab saya tahu for sure dia mimpi mimpi teringat kat si miki makan aiskrim sampai comot cenggitu wakakakakkakaka

  10. pening aku baca entry bahasa melayu ko ni pompuan.biar aku sorg je la blog dlm bahasa melayu.adoiiiii

    bbalik pd entry ko, aku x salahkan pompuan tu.sbb aku pernah berada dlm kasut dia.tp la ni anak dah dua, dah x koser nak halang2 bagai.sbb kang aku jugak yg xdpt nak mkn eskrim.. x syok la mkn eskrim yg ‘sama’, nak gak perasa lain.. agagagaga

  11. hahah.. betul la mama Emma.. pening baca blog bahasa melayu diyana nih… nampak sangat kalau manglish bleh paham tp kalau guna bahasa melayu betul2 jadi tak paham… ni la melayu. adoihhhh ;p

  12. Peggen,
    Izinkan saya berbahasa Melayu pada bulan ini. Oh Peggen, anda telah memberikan suatu komen yang sungguh bernas –
    “JANGAN ROMPAK ZAMAN KANAK-KANAK ANAK KITA”

    Adalah sungguh sedih menjadi kanak-kanak yang membesar tanpa aiskrim, lolipop dan gula-gula kapas.

    terima kasih kerana sering membaca blog saya walaupun anda berada di Melbourne! Saya rasa sangat bangga dan berbesar hati… Kirimkan salam saya kepada kangaroo, beruang koala dan juga platipus. Eh ada platipus kah di Australia? 🙂
    .
    .
    CPM dan Emma,
    Kamu berdua patut diberi tarbiah selama sejam dan kemudian ditampar di muka laju-laju. Ini adalah kerana kamu berdua telah berpaling tadah dari Bahasa Melayu ke Bahasa Manglish. Sedarlah wahai insan, bahasa menunjukkan bangsa. Sekarang mesti kamu merasakan saya sangat poyo dan ingin menampar saya berkali2 juga bukan? muahahahahahaha
    .
    .
    Nolin, terima kasih kerana melawati blog saya. Ya, saya memang suka bercerita mengenai aiskrim tapi bukan aiskrim yg MamaEmma maksudkan itu.
    .
    .
    Nina, saya telah berjumpa dengan ramai ibu-ibu sebegini. saya sokong tujuan mereka adalah menjaga kesihatan anak mereka tetapi tak perlulah mengeji orang lain yang tidak dikenali di taman permainan.
    .
    .
    Lina, jikalau dibiarkan, anak saya akan mengambil lebihan aiskrim dan menyapukannya di kaki beliau dengan alasan sejuk. *pengsan*
    .
    .
    ana, semua ibu tahu apa yg terbaik untuk anaknya sendiri… ntahla…

  13. ..ohh terima kasih kerana berbahasa melayu, selama ini saya amat terseksa membaca bahasa inggeris..menyebabkan pundi kencing saya mahu terkucil sahaja..tahniah puan diyana..sebagai informasi untuk puan, saya pun suka makan aiskrim.., apatah lagi miki sekecil itu!! =P kepeh kepeh kepeh

  14. aku rasa nize makan ais krim malaysia je kot lalalalalalalala. tapi komen ku ini serta komen azman membuatkan aku tersentap juge…lalalalala…

  15. babe: all the bahasa in this post is gazillion more than all your post and codings combined> I;ve never seen so many from you… =) well done!

  16. hish nak tulis komen dalam bahasa melayu baku ni pun dah 2-3 kali backspace…tahniah diyana telah menulis blog bahasa melayu buat
    sekian kali nya…..
    P/s : Anak makcik tu bila dah besor belum tentu makan makanan yang sihat tengok2 duk balas dendam makan lemak sebab masa “childhood” tak dapat merasa

  17. saya nyaris-nyaris muntahkan sarapan pagi yg memenuhi setiap sudut perut ini di cubicle mamaemma. ini adalah kerana syaitan nirrojim juga telah menggeletek pundi hempedu saya sehingga saya gelak guling-guling setelah membaca entry ini dan komen eskrem mamaemma itu.

    tak pernah-pernah aku nak komen2 blog orang, tetiba entry mu yg keji ini telah menarik-narik pusatku agar komen!!! kalau abah saya (guru bahasa melayu yg dah pencen) membaca blog ini, pasti dia akan merayu-rayu agar diberikan semula jawatan nyer!!!

    tahniah kerana sangat lawak dalam bahasa melayu!
    bahasa jiwa bangsa!! wakakakaka..

  18. ak ee naa kecoh laaa makcik tu..btol u ckp, mkn ice cream je bukan makan kasut! 🙂

    bagik die ur blog link, tunjuk gambar2 miki melantak brocoli, carrot, etc:)

  19. hahaha….”sukati aku la nak bg anak aku makan apa!” hehehhe…..bak kt ko dia bkn tau anak ko makan sayur ke apa ke…ishh ishh…..btw BM ko mmg power!!! hahaha berbelit2 aku baca….. 😛

  20. ahahahahahahaha….seres lawak giler. Cam direct translation. Tuh yg jd lagi lawak tuh. ahahahahahaha….LMAO

    And yes, pity the boy. He can’t experience the real life as a child. All messy and full of fun food. 😀

  21. salam frm singapore… nasib baik u masih bersabar. lau tak setelah mendgr bisikan syaitan di telinga u, mesti u da suroh miki pegi kat budak tu, tanye dia dgn suara nyaring dan ngeri yg keluar melalui hidung, “AWAK NAK ESKWIM NI???? NAHHHH…..” konpem2 mak budak kudut tu terjerit2 n terloncat2 gilerrr punye… cian budak tu tk bersalah. tapi… sape suro mak ko jadi annoying-bastet-bothering-other-people-basket???? aku lak yg emo kt sini eh… Miki, teruskan makan aiskwim tu syg, but only when mummy says ok, okayyy??

Leave a Reply